Suami
sebagai pemimpin rumahtangga semestinya sentiasa kreatif dalam mendidik
isteri. Allah SWT bekalkan kepada kaum lelaki kekuatan akal yang
rasional, tidak terlalu emosional atau mudah didorong oleh perasaan.
Lelaki tidak mudah tersinggung berbanding dengan wanita. Jika kekuatan
akal ini dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya, ditambah pula dengan
kesabaran serta kekuatan jasmani untuk mencari nafkah keluarga, seorang
suami akan menjadi pelindung dan pendidik yang berwibawa.
Firman Allah SWT:
“Lelaki
adalah pemimpin (pembela dan pelindung) bagi wanita, kerana Tuhan telah
melebihkan yang satu dari yang lainnya, dan kerana suami telah
menafkahkan sebahagian daripada hartanya.”
Kebahagiaan
rumahtangga dapai diraih apabila suami dapat menggunakan kekuatan
akalnya serta kesabaran dalam menghadapi kerenah dan ragam isteri.
Secara mudah, bolehlah dikatakan lelaki adalah makhluk akal manakala
wanita adalah makhluk rasa. Perasaan wanita terlalu mudah terusik dengan
suasana dan keadaan sekeliling. Oleh itu dalam menghadapi wanita,
lelaki hendaklah banyak menggunakan daya fikir. Kalau umpamanya isteri
sedang berduka, suami perlu merancang untuk mewujudkan perasaan gembira
di dada isteri. Di sinilah perlunya strategi dalam mendidik isteri.
Kaum
wanita memang dibekalkan dengan sembilan nafsu dan akal berbanding
dengan lelaki hanya satu nafsu dan sembilan akal. Nafsu yang dimaksudkan
bukanlah nafsu seks semata-mata tetapi nafsu yang menyebabkan seseorang
itu mudah hilang sabar, mudah berprasangka, pemarah, pemboros dalam
berbelanja, cepat tersinggung dan sebagainya. Pendek kata, hasil
dorongan nafsu itulah lahirnya pelbagai perasaan di dada wanita. Sebab
itu dikatakan juga bahawa sembilan persepuluh daripada diri wanita itu
ialah perasaan dan satu persepuluh saja pertimbangan akal. Atas dasar
inilah isteri mesti dipandu atau dibimbing oleh suami agar segala tindak
tanduknya tidak melulu ikut perasaan semata-mata.
Sembilan nafsu pada
diri wanita boleh menyebabkan kerosakan pada masyarakat dan keruntuhan
rumahtangga jika tidak dipagari dengan ilmu syariat. Mahu tidak mahu
suami terpaksa mempelajari sedikit sebanyak ilmu untuk menundukkan
wanita atau psikologi wanita serta memenuhkan dada dengan ilmu syariat.
Barulah nanti dapat menggunakan kebijaksanaan dalam mendidik isteri
sekalipun adakalanya menghadapi ragam isteri yang mencabar kesabaran
suami.
Kebijaksanaan mesti disertai pula dengan kesabaran. Kedua-duanya mesti ada pada seorang suami. Kesabaran tanpa kebijaksanaan menyebabkan
suami menurut saja kemahuan isteri sehingga isteri lupa daratan.
Manakala kebijaksanaan tanpa kesabaran akan menyebabkan suami tewas
dengan nafsunya sendiri sehingga bertindak ganas dan boleh mencederakan
isteri.
Maknanya, tanpa kesabaran seseorang itu hilang pertimbangan akal dan tidak dapat lagi melihat sesuatu persoalan dengan tenang. Jika kesabaran tidak ada pada diri, ia perlu diusahakan melalui latihan berpandukan ilmu tasauf. Contoh bagaimana kesabaran boleh menundukkan nafsu wanita dapat dilihat pada satu kisah seorang perempuan tua yang suka mengganggu Rasulullah SAW.
Maknanya, tanpa kesabaran seseorang itu hilang pertimbangan akal dan tidak dapat lagi melihat sesuatu persoalan dengan tenang. Jika kesabaran tidak ada pada diri, ia perlu diusahakan melalui latihan berpandukan ilmu tasauf. Contoh bagaimana kesabaran boleh menundukkan nafsu wanita dapat dilihat pada satu kisah seorang perempuan tua yang suka mengganggu Rasulullah SAW.
Tatkala
Rasulullah SAW lalu di sebelah rumahnya, perempuan tua itu akan
membaling sampah kepada Rasulullah SAW. Adakalanya dia menaburkan sampah
dan serpihan kaca di sepanjang jalan yang akan dilalui oleh Rasulullah
SAW. Bahkan pernah juga dia membaling najis semasa Baginda lalu di
sebelah rumahnya. Namun sedikit pun tidak dipedulikan oleh baginda.
Suatu hari Rasulullah SAW rasa pelik kerana perempuan tua itu tidak
menghalangi lagi perjalanannya baik dengan serpihan kaca mahupun dengan
sampah yang dibalingkan. Apabila pulang dari masjid, baginda bertanya
kepada jiran perempuan tersebut. Rupa-rupanya perempuan itu sakit. Lalu
Baginda naik ke rumahnya dengan tujuan untuk berziarah. Rasulullah SAW
bertanyakan khabar dan tolong memasakkan air untuk perempuan tua itu.
Alangkah terkejutnya perempuan tersebut melihat akhlak Baginda yang
sanggup menziarahi dan membantunya tatkala dia sedang sakit. Akhirnya
dengan sifat sabar, Rasulullah menghadapi kerenah perempuan tua itu,
menyebabkan terbuka hatinya untuk mengucap dua kalimah syahadah.
Dalam
peristiwa yang lain, pernah Rasulullah SAW melintasi sekumpulan kaum
perempuan, lalu Baginda memberi salam. Namun tiada seorang pun yang
menjawab salam baginda. Rasulullah SAW memberi salam sekali lagi. Mereka
masih diam juga. Akhirnya setelah tiga kali Rasulullah beri salam,
barulah mereka menjawab salam baginda. Apabila ditanya mengapa mereka
tidak menyahut salam yang pertama dan kedua, mereka menjawab: “Kami sengaja mahu Rasulullah SAW mendoakan untuk kami.”
Begitu
Rasulullah SAW mendidik kaum wanita. Walaupun sesekali kesabaran
baginda rasanya tercabar, tetapi Baginda masih dapat menunjukkan akhlak
yang paling baik. Kadangkala apabila berhadapan dengan kaum perempuan
yang pendek akalnya, kaum lelaki mudah naik angin. Memang tidak
dinafikan ada masanya perempuan mengambil masa untuk memahami sesuatu
perkara. Tetapi kaum lelaki mestilah menyedari hakikat bahawa kaum
perempuan memang sediakala lemah pemikirannya. Oleh itu, suami mestilah
bersedia untuk mendidik isteri dengan penuh kasih sayang tanpa rasa jemu
walaupun mengambil masa yang panjang.
Suatu ketika datang seorang perempuan berjumpa Rasulullah SAW dan bertanya tentang mandi hadas. Rasulullah SAW menjawab:
“Ambillah sepotong kain perca yang sudah dikasturikan lalu berwuduk dengannya.” Perempuan itu terpinga-pinga kerana tidak memahami keterangan Rasulullah. Lantas dia mengulangi lagi pertanyaannya: “Bagaimana saya hendak berwuduk dengan itu?” Sekali lagi Rasulullah mengulangi jawapan baginda. Tetapi perempuan yang bertanya masih belum memahaminya. Lalu Rasulullah SAW meminta kepada Siti Aishah r.a. supaya menerangkan kepada perempuan itu. Maka Siti Aishah pun berkata: “Ambil sepotong kapas yang bersih, lalu letakkan di tempat darah. Jika kapas itu tetap putih tanda haid sudah berhenti.”
Yang
dimaksudkan dengan unsur kasih sayang dalam mendidik isteri bukanlah
sekadar kata-kata asmara dana atau pujuk rayu. Tetapi ia lebih daripada
itu. Sifat dan perwatakan suami itu sendiri hendaklah mempunyai ciri
pengasih, sekalipun jika dia seorang pemimpin. Ada waktu-waktu yang
tertentu apabila suami bersama isteri, suami hendaklah merendahkan sifat
egonya, seperti mana yang dibuat oleh Rasulullah SAW tatkala bersama
Siti Aishah.
Sewaktu
Rasulullah SAW dinikahkan dengan Siti Aishah, umur baginda 55 tahun
manakala Siti Aishah baru enam tahun dan mereka bersama tatkala Siti
Aishah berusia sembilan tahun. Semasa melayan Siti Aishah, ada masanya
Rasulullah berlagak seperti kawan sepermainan. Siti Aishah diajak
berlumba lari. Kadang-kadang Siti Aishah menang dan adakalanya
Rasulullah menang. Bermakna sewaktu bersama isteri, adakalanya
Rasulullah melayan kehendak isterinya tanpa menjatuhkan martabatnya
sebagai seorang suami yang wajib dihormati oleh isteri. Ini menunjukkan
bahawa pada masa-masa tertentu suami mesti pandai memikat hati isteri
asalkan tidak sampai terlalai hingga menurut saja segala kemahuan
isteri.
Di
sinilah perlunya ketegasan seorang suami. Tegas dalam syariat dan tegas
dalam perjuangan. Tegas tidak pula bermakna kasar atau garang cuma
jangan sampai kerana hendak melayan kehendak isteri, syariat dan
perjuangan terpaksa diketepikan. Sebagai pemimpin dalam sesebuah
rumahtangga, suami berhak untuk mendidik dan menyelesaikan segala
kekusutan fikiran isterinya. Oleh kerana wanita seringkali bertindak
mengikut perasaannya, maka adakalanya apabila fikiran terganggu,
emosinya juga terikut sama. Tatkala itu kalau ada kesalahan suami
walaupun kecil akan diungkit-ungkit lebih-lebih lagilah jika kesalahan
itu dianggap besar, mulalah meluap-luap perasaan marahnya pada suami.
Memang
satu sifat yang agar sukar untuk dikawal ialah tatkala isteri sedang
marah. Kadang-kadang dia mengamuk macam ribut taufan lakunya (sebab itu
kebanyakan nama ribut diambil dari nama perempuan umpamanya Taufan
Lydia, Ariel, Angela dan lain-lain). Bagaimana sepatutnya tindakan suami
untuk mententeramkan isteri yang sedang dilanda ribut taufan ini?
Seeloknya didiamkan saja dahulu sampai kemarahannya reda kemudian baru
diterangkan dengan sejelas-jelasnya setiap perkara yang perlu
diterangkan terutama yang menimbulkan prasangka isteri. Mengapa perlu
diamkan saja orang yang sedang mengamuk? Kerana tatkala sedang marah
syaitan sengaja meluap-luapkan perasaan marahnya. Kalau dijawab, bererti
kita sengaja mencari pasal kerana berlawan dengan syaitan. Maka lebih
baik didiamkan sahaja sehingga perasaan marahnya kendur.
Ada
kalanya demi keharmonian rumahtangga, ada perkara-perkara tertentu yang
tidak sepatutnya diketahui oleh isteri. Kalau perlu disembunyikan dari
pengetahuan isteri, sembunyikan sungguh-sungguh. Bukanlah untuk
menggalakkan suami mengambil kesempatan melakukan perkara yang sumbang
dan berbuat dosa di belakang isteri. Tetapi jika perkara yang
disembunyikan itu tidak bertentangan dengan syariat, memang ada baiknya
disembunyikan. Mungkin ia berhubung dengan suatu perkara yang isteri
masih sukar untuk menerimanya. Hal ini pernah berlaku dalam rumahtangga
Rasulullah SAW.
Suatu hari isteri-isteri datang menemui Baginda, dan Siti Aishah, yang mewakili mereka semua, bertanya: “Wahai Rasulullah, di antara isteri-isteri Rasulullah,yang manakah yang paling Rasulullah sayangi?” Rasulullah
SAW tersenyum mendengar pertanyaan itu. Rasulullah tidak terus
menjawabnya. Bahkan Baginda menyuruh kesemua isterinya pulang dahulu dan
berjanji akan memberikan jawapannya kemudian. Bagaimana harus dijawab
kalau anda ditanya begitu oleh isteri-isteri anda? Memang tidak
dinafikan perasaan kasih sayang itu tidak boleh diberi sama adil. Ini
diakui oleh Allah SWT. Tetapi suami mestilah pandai memainkan peranannya
supaya jangan ada di kalangan isteri-isteri yang tersinggung perasaanya
kerana mengetahui suami lebih sayang kepada isteri yang tertentu.
Berbalik kepada kisah tadi, maka seperti biasa Rasulullah SAW mendatangi
isteri-isterinya mengikut giliran masing-masing. Rasulullah sedikit pun
tidak menyebut mengenai persoalan yang dikemukakan itu. Sebaliknya
sebelum baginda meninggalkan isterinya, setiap seorang baginda hadiahkan
sebentuk cincin dan baginda berpesan agar mereka tidak memberitahu pada
isteri-isteri yang lain.
Pada
hari yang telah ditetapkan Rasulullah SAW menyuruh isteri-isterinya
berkumpul kerana baginda hendak memberi jawapan kepada persoalan yang
dikemukakan. Maka berdebar-debarlah hati masing-masing untuk mengetahui
siapakah di antara mereka yang paling disayangi oleh Rasulullah. Ada
yang terasa pasti jawapannya Siti Aishah kerana beliaulah yang termuda
di antara mereka. Tetapi dengan kebijaksanaan Rasulullah SAW, Baginda
pun berkata, “Isteri yang paling disayangi ialah mereka yang diberi cincin kepadanya.” Maka
tersenyumlah isteri-isteri Rasulullah kerana setiap seorang menyangka
dia sahaja yang menerima cincin tersebut. Begitulah sepatutnya tindakan
suami, pandai menyelesaikan kekusutan fikiran isteri.
Satu
perkara lagi biasanya kaum perempuan suka berleter atau setengah orang
kata macam mulut murai. Suami yang bijak akan berdiam dan tidak menjawab
leteran isteri. Ini bukan bermakna suami mengalah, tetapi sebagai satu
strategi. Ibarat orang sedang sakit gigi. Gigi yang sakit jangan terus
dicabut kerana akan bertambah sakitnya. Hendaklah tunggu sehingga
sakitnya berkurangan barulah dicabut. Maknanya isteri yang sedang
berleter, jangan dinasihati. Hendaklah tunggu keadaannya menjadi kendur,
barulah boleh dinasihati. Dan nasihat itu mestilah kena pada tempatnya.
Maka barulah diterima dan dirasakan seperti kepala yang disirami embun
pagi pada kala panas terik. Rasulullah SAW juga pernah berhadapan dengan
kerenah perempuan yang suka berleter. Rasulullah tidak menjawab sepatah
pun. Baginda memberi peluang kepada perempuan tersebut meluahkan
ketidakpuasan hatinya. Apabila kesemuanya telah diluahkan, barulah
baginda memberi penjelasan atau pun memaafkan saja dan melupakan perkara
tersebut.
Tidak
semua suami memiliki isteri yang banyak kerenah. Beruntunglah suami
yang memiliki isteri yang sikapnya terlalu pengasih terhadap suami dan
anak-anak. Perempuan begini rela mengorbankan seluruh jiwa dan raganya
untuk kebahagiaan suami dan anak-anak. Dia akan bersikap sebagai
penghibur, penyayang, pendorong dan pembantu kepada perjuangan suami
sekiranya suaminya seorang pejuang atau pendakwah. Isteri begini bukan
sahaja tidak membebankan suami dengan masalah-masalahnya, bahkan dia
akan berusaha untuk menyelesaikan masalah suaminya. Sabda Rasulullah
SAW:
“Barangsiapa memiliki isteri yang solehah, maka sesungguhnya ia telah memiliki separuh dari agamanya.”
Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud:
“Dunia adalah hiasan dan hiasan yang terbaik ialah memiliki isteri yang solehah.”
Apabila
wanita dapat dididik dengan betul, maka ia dapat memberi kebaikan yang
besar kerana di tangan wanitalah penentu corak generasi akan datang.
Kelembutan dan kehalusan belaian tangan wanita yang solehah boleh
membahagiakan seisi alam.